LANGKAWI: Pendirian Pakatan Harapan (PH) amat jelas berhubung perlaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dianggap tidak wajar dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana menurutnya, beberapa isu atau masalah utama yang berlaku didalam negara seperti krisis kesihatan melibatkan penularan wabak COVID-19, krisis ekonomi, isu melibatkan rasuah serta banjir perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan bahawa PH bersedia untuk "masuk bertempur" sekiranya PRN Johor benar-benar berlaku dan diadakan dalam masa terdekat.

"Dia begini, keputusannya (adalah) kita ada pendirian jelas, walaupun kadang-kadang media ambil penekanan (dari sudut) yang berbeza. Pertama, apa isu (atau) masalah (utama) negara kita? COVID-19, ekonomi, rasuah, banjir, (perlu) selesaikan masalah itu dulu,

"Tetapi kalau diputuskan untuk diadakan pilihan raya, silakan, kita akan bertempurlah, dalam medan, dalam gelanggang," katanya.


PRN Johor | Perlu dapatkan pandangan KKM dahulu - Hishammuddin

Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Bersama Presiden anjuran PKR Cabang Langkawi, di Dewan Ho Peng, Kuah pada Isnin.

Sabtu lalu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan menyatakan bahawa usaha PH dalam bergandingan bersama kerajaan negeri bagi membantu rakyat ketika ini bukanlah indikator bahawa pembangkang akan menjalinkan kerjasama bagi mengelakkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tegasnya, kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad itu disaran untuk terus mentadbir jentera kerajaan sehingga akhir penggal biarpun hanya berkelebihan satu kerusi DUN.

Jelas beliau, Ia bagi mengelakkan PRN diadakan dalam masa terdekat memandangkan rakyat sedang mengalami krisis pandemik COVID-19 dan ekonomi domestik ketika ini.