KLUANG: Bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat sebagai persediaan buat Parti Warisan (Warisan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, PRN Johor merupakan titik permulaan, bagi parti yang baru melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia itu, untuk menguji tahap sokongan rakyat di peringkat akar umbi.

"Ini (PRN Johor) titik permulaan untuk persediaan PRU15, sebab kita perlu tahu di manakah akar umbi, kita mungkin tidak dapat mengetahuinya sekarang, tetapi apabila PRU15 nanti, mereka (rakyat) kenal kami kerana pernah bertanding. Kita tahu di mana kekuatan dan kelemahan kita.

"Kami baru lancarkan parti ini di Semenanjung tiga, empat bulan lepas. Ada yang tidak kenal Warisan. Shafie Apdal kenal, tetapi Warisan tidak kenal. Mereka lebih kenal pemimpinnya daripada partinya sendiri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu mengakui bukan mudah untuk Warisan memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada PRN Johor dan parti itu perlu bekerja kuat bagi meraih undi serta sokongan rakyat di negeri ini.

Beliau yakin Warisan berpotensi menjadi wadah dan pilihan politik baharu yang berjuang tanpa sempadan kaum dan agama bagi masyarakat di Semenanjung.

Ditanya sama ada Warisan akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain bagi mewujudkan kerajaan negeri, Mohd Shafie berkata, parti itu lebih fokus untuk berada di blok pembangkang bagi proses semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri, jika memenangi kerusi yang ditandingi.

"Kita mahu mewujudkan landasan agar suara rakyat didengari. Semak dan imbang perlu ada, bagi memastikan perjalanan pentadbiran negeri lebih berintegriti," katanya.

Beliau berkata, Warisan masih menerima banyak 'pelawaan' daripada beberapa parti politik tanah air, bagi menjalinkan kerjasama pada PRN Johor.

Pada PRN Johor, Warisan bertanding di kerusi DUN Mahkota, Bekok, Pekan Nenas, Permas, Johor Jaya dan Bukit Batu. - BERNAMA