KUALA LUMPUR: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan logo parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat boleh memberi impak kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut saintis politik, Profesor Wong Chin Huat, gabungan parti politik itu kini dilihat seolah-olah menjadi sekadar persefahaman politik, apabila keputusan berkenaan diambil. 

"Daripada pihak PKR, alasannya adalah bahawa logo dan bendera PH itu menjadi satu beban kerana ada unsur Mahathir. Ini menunjukkan keyakinan besar terhadap logo PKR sendiri.

"Pada masa sama, bagi DAP dan Amanah, logo PKR itu tidak laku... maka lebih selamat jika menggunakan logo PH kerana mereka ingin kekalkan gabungan itu.

"Apa yang kita boleh baca lebih mendalam, kalau model ini diteruskan dalam PRU15, bermaksud PH menjadi longgar dan menjadi (hanya) persefahaman politik berbanding satu gabungan kukuh seperti dahulu, yang mengeluarkan manifesto yang sama untuk semua parti," jelasnya.

Tambah Wong, jika manifesto yang dikeluarkan setiap parti di bawah PH tidak selari, ujarnya ia memberi satu petanda awal gabungan itu semakin rapuh.

"Mungkin kita lihat dalam PRN (Johor), sama ada parti ini dapat mengemukakan manifesto yang sama atau tidak.

"Kalau tidak, itu menjadi satu tanda awal bahawa PRU15 mungkin akan melihat lebih 'pelonggaran' PH ini," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Khamis.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan logonya sendiri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Rabu, majlis itu memaklumkan parti-parti lain akan menggunakan logo PH.