DUNIA
Pakistan lencongkan air banjir untuk selamatkan bandar, lebih sejuta terjejas

Sekurang-kurangnya dua bandar di wilayah tengah Punjab yang mempunyai jumlah penduduk hampir 3 juta orang berdepan ancaman banjir akibat sungai yang melimpah. - Reuters
ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan pada Khamis meletupkan benteng sungai bagi menyelamatkan bandar-bandar utama daripada limpahan air selepas hampir 1.5 juta orang terjejas akibat banjir selama beberapa minggu yang berpunca daripada hujan monsun tidak menentu, menurut pegawai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sekurang-kurangnya dua bandar di wilayah tengah Punjab yang mempunyai jumlah penduduk hampir 3 juta orang berdepan ancaman banjir akibat sungai yang melimpah.
Benteng sungai ialah dinding semula jadi atau buatan manusia yang dibina di sepanjang sungai bagi menghalang limpahan air. Anggota tentera menggunakan bahan letupan untuk memecahkan benteng itu dan mengalihkan aliran air, manakala bot turut digerakkan bagi operasi pemindahan besar-besaran.
"Ia adalah situasi krisis dan lencongan air sedang dilakukan untuk menyelamatkan bandar dan infrastruktur," kata Menteri Penerangan Punjab Azma Bokhari kepada media.Puluhan ribu anggota penyelamat dan tentera yang disokong lebih 6,000 bot memindahkan lebih 200,000 orang dari kampung-kampung yang tenggelam dalam operasi yang berjalan siang dan malam, menurut jurucakap Jabatan Penyelamat Punjab, Farooq Ahmed.
"Kami menjangkakan untuk memindahkan sekurang-kurangnya sejuta orang lagi dalam beberapa hari akan datang," kata Ahmed, sambil memaklumkan bahawa air banjir dari tiga sungai yang mengalir dari India telah menenggelamkan ribuan kampung di wilayah itu.
Setakat ini, lebih 800 orang maut di Pakistan akibat banjir kilat, tanah runtuh, runtuhan glasier dan limpahan air mendadak di kawasan bandar yang dicetuskan oleh hujan monsun lebat selama beberapa minggu.
Monsun, musim hujan lebat di Asia Selatan dari Julai hingga September, kini menjadi semakin tidak menentu dan lebih teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat perubahan iklim, menyebabkan ribuan kematian dan jutaan terjejas.
Lebih 2,000 orang maut dalam banjir besar yang melanda Pakistan pada 2022, menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu atau bersamaan keluasan yang lebih besar daripada United Kingdom.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami