KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) melantik Amir Syafiq Ameer Soekre, 40, yang juga Setiausaha PSM Johor, sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
PSM memaklumkan Amir Syafiq, yang merupakan aktivis hak pekerja dan mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang jualan serta pemasaran, akan menggerakkan kempen "Skudai Saksama".
Graduan Teesside University di United Kingdom itu mula berminat memperjuangkan hak pekerja dan golongan tertindas selepas mengikuti perjuangan pemimpin PSM, Arutchelvan Subramaniam menerusi siaran televisyen.
Beliau dijangka berdepan calon Barisan Nasional (BN), Tan Hiang Kee, yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Wanita MCA Kebangsaan.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Kartiyaini Jeyapalan yang merupakan Timbalan Pengerusi II DAP Wanita Johor bagi mempertahankan kerusi DUN Skudai.
Untuk rekod, kerusi DUN Skudai kini disandang Marina Ibrahim, namun beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.
Pada PRN Johor 2022, Marina memenangi kerusi tersebut selepas memperoleh 26,359 undi dengan majoriti 13,943 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Dalam perkembangan berkaitan, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengumumkan senarai calon masing-masing bagi menghadapi PRN Johor pada malam ini.