JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau percaya rakyat Johor menyayangi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan akan terus memberikan kepercayaan kepada pemimpin muda itu untuk mentadbir negeri berkenaan.
Menurut beliau, Onn Hafiz telah membuktikan kemampuannya menerusi pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbirannya, termasuk kejayaan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Johor.
Ahmad Zahid berkata, Onn Hafiz juga mempunyai ciri kepimpinan yang baik serta sentiasa mengamalkan budaya berbincang dalam membuat keputusan besar melibatkan pentadbiran negeri.
"Sebab itu saya sayangkan Datuk Onn Hafiz. Saya percaya rakyat Johor juga menyayangi beliau kerana beliau seorang pemimpin yang baik dan wajar diberikan kepercayaan untuk terus mentadbir negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program kempen Barisan Nasional (BN) di Kempas, pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, hubungan kerja yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan turut membantu memastikan pelbagai agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan untuk manfaat rakyat Johor.
Katanya, Onn Hafiz juga sering merujuk serta mendapatkan pandangan berkaitan perkara-perkara penting yang melibatkan pentadbiran negeri.
"Apa juga perkara besar, beliau akan datang berbincang dengan saya terlebih dahulu. Kalau hendak ke luar negara atas urusan rasmi, beliau akan menghubungi saya.
“Kalau ada keputusan besar melibatkan pentadbiran negeri, beliau akan datang ke rumah saya untuk berbincang. Itulah adab seorang pemimpin," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memuji prestasi pentadbiran kerajaan negeri Johor yang menurutnya berjaya menarik pelaburan serta mewujudkan 80,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang tempoh kepimpinan Onn Hafiz.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu menyediakan 200,000 peluang pekerjaan baharu, termasuk 100,000 pekerjaan bergaji premium untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pada masa sama, Ahmad Zahid menyifatkan Onn Hafiz sebagai antara pemimpin muda yang mempunyai masa depan cerah dalam arena politik negara.
"Beliau seorang pemimpin yang baik. Benar seperti yang disebut oleh KJ (Khairy Jamaluddin), beliau merupakan antara pemimpin muda yang dibimbing dengan baik," katanya.