PUTRAJAYA: "Terlajak kata, buruk padahnya," demikian kata Datuk Fahmi Fadzil mengulas pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) Johor dengan DAP sekiranya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut maksud kata-kata itu.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengulas perkara sama, berkata parti politik perlu sentiasa terbuka terhadap sebarang kemungkinan dalam landskap politik yang sentiasa berubah.
"Dalam politik ini, kita perlu mengizinkan apa jua kemungkinan. Kita mesti mengizinkan apa pun yang boleh berlaku.
"Don't burn bridges. Jangan terlalu sayang. Benci berpada-pada. Kita tidak tahu apa takdir yang mendatang.
"Jadi, jangan terlalu ekstrem dan infleksibel. Jangan terlalu jumud. Ke depan nanti kita tidak tahu apa ketentuan Allah," katanya kepada media.
Fahmi dan Dr Dzulkefly berkata demikian selepas menghadiri Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Isnin.
Pada Ahad, Onn Hafiz menegaskan beliau tidak sanggup memegang jawatan Menteri Besar sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP selepas PRN Johor akan datang.
Menurut beliau, kerjasama antara BN, khususnya UMNO, dan DAP tidak pernah wujud di Johor, berbeza dengan realiti politik di peringkat Persekutuan ketika ini.
Onn Hafiz berkata pendirian itu selaras dengan hasrat kesemua 26 bahagian UMNO Johor serta parti-parti komponen BN negeri yang mahu bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor pernah diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada September 2024 apabila semua parti komponen kedua-dua gabungan, termasuk DAP, turun membantu kempen calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan Syed Hussein mengekalkan kerusi berkenaan untuk BN dengan majoriti 20,648 undi.