JOHOR BAHRU: Parti Warisan (Warisan) bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memberikan pilihan kepada rakyat berikutan prestasi hambar Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka dan Sarawak tahun lepas.

Ketua Wira Warisan Datuk Azis Jamman berkata keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri adalah petunjuk jelas bahawa pengundi tidak lagi menyokong PH.

"Justeru, penglibatan Warisan dalam PRN Johor adalah bagi memberikan alternatif kepada pengundi yang sudah muak serta bosan dengan polemik politik kaum dan agama.

"Tuduhan DAP Socialist Youth (DAPSY) Sabah yang mendakwa Warisan bersekongkol dengan UMNO menunjukkan parti itu terdesak akibat kemerosotan sokongan kepada DAP," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jika DAP sememangnya tidak pernah menolak mana-mana parti pembangkang untuk bertanding di Semenanjung kerana ia adalah hak demokrasi setiap parti maka ia tidak sepatutnya mempersoal langkah Warisan bertanding di Johor.

"Kami sudah bosan dengan lakonan PH di Parlimen. Mereka mengeluarkan kata-kata marah dan mengibas tangan mereka di hadapan televisyen namun di sebalik tabir, mereka telah membuat perjanjian untuk berkecuali. Jika UMNO lahir di Istana Johor, mungkin Johor juga merupakan negeri kelahiran Warisan di bumi Semenanjung.

"Jika sejarah telah membuktikan bahawa rakyat Sabah boleh menerima parti-parti yang lahir di bumi Semenanjung, dalam kemelut politik yang melanda negara hari ini selain rakyat hilang kepercayaan terhadap ahli politik, Warisan merupakan parti yang boleh menjadi pilihan untuk rakyat Johor atas rekod prestasi Warisan yang terbukti mempunyai prinsip dan mengutamakan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum yang lepas daripada kepentingan peribadi," katanya.

Azis juga berkata Warisan serius dan ikhlas untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih progresif dan bersatu.

Beliau berkata Warisan selama ini konsisten dan enggan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan kerajaan yang akan menjadikan pembangkang tidak berkesan dan tanpa tujuan lagi.

-- BERNAMA