Skip to main content

Politik

PRN Johor: Zahid berjaya imbangi tekanan politik negeri, Persekutuan – Sumali

Calon BN DUN Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan
Sumali berkata, peranan dimainkan Ahmad Zahid sepanjang kempen PRN Johor memperlihatkan usaha mengekalkan keseimbangan antara kepentingan parti, kerajaan dan rakyat dalam suasana politik yang semakin dinamik. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

PONTIAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjaya mengimbangi cabaran politik di peringkat negeri dengan tanggungjawab mentadbir negara menerusi Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, landskap politik semasa memerlukan pemimpin membezakan antara persaingan pilihan raya dan keperluan untuk mengekalkan kestabilan kerajaan, terutama apabila parti-parti yang bersaing di negeri masih bekerjasama di peringkat Persekutuan.

Sumali berkata, peranan dimainkan Ahmad Zahid sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memperlihatkan usaha mengekalkan keseimbangan antara kepentingan parti, kerajaan dan rakyat dalam suasana politik yang semakin dinamik. 

"Soal negeri harus diasingkan dengan kerajaan keseluruhan. Sama ada bertembung atau tidak bertembung, kita kena faham bahawa keadaan politik sekarang berlaku sebegitu," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Benut, pada Rabu.

Kerusi DUN Benut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Sumali yang mewakili BN dan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara, Abdul Razak Ismail.

Benut yang berada di bawah Parlimen Pontian merupakan antara kawasan tradisi BN dan sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad sejak 2008.

Pada PRN kali ini, Sumali diberi kepercayaan mempertahankan kerusi tersebut selepas Hasni tidak dicalonkan semula. 

Mengulas lanjut, Sumali berkata kehadiran Ahmad Zahid yang turun padang secara konsisten sepanjang tempoh kempen menunjukkan kesungguhan kepimpinan BN menghadapi pilihan raya yang disifatkannya sebagai petunjuk awal terhadap sentimen pengundi semasa.

"Sebab ini adalah pilihan raya negeri yang pertama selepas Sabah, saya ingat ini adalah indikator yang orang nak lihat ke arah mana sokongan pengundi bergerak mengikut situasi semasa," katanya lagi.

Beliau berkata Ahmad Zahid bukan sahaja memainkan peranan sebagai presiden parti dalam memperkukuh jentera pilihan raya, malah membawa mesej dasar dan pencapaian kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurut Sumali, pendekatan itu melengkapkan hubungan antara kepimpinan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pentadbiran Johor yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Katanya, kestabilan yang dibina di Putrajaya memerlukan sokongan kerajaan negeri yang kukuh bagi memastikan agenda pembangunan, pelaburan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.

Dalam masa sama, beliau mempertahankan kepimpinan Onn Hafiz yang menurutnya berjaya menarik pelaburan serta memperkenalkan pelbagai dasar dan bantuan yang memberi manfaat kepada rakyat Johor.

"Ramai orang sukakan Menteri Besar Johor. Seorang pemimpin muda yang mempunyai visi yang luas dan jauh," katanya lagi.

Pada masa sama, Sumali menegaskan persaingan politik di negeri tidak seharusnya menjejaskan kerjasama yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Bila sampai di Pusat, mereka boleh duduk, mereka boleh bergurau, mereka boleh berbincang untuk kepentingan negara dan untuk kepentingan masyarakat," katanya.

Beliau berkata realiti politik semasa menuntut semua pihak menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik, namun keutamaan tetap perlu diberikan kepada kestabilan pentadbiran, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement