PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menawan Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya 90 peratus pengundi keluar menjalankan tanggungjawab pada 12 Ogos depan.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jangkaan tersebut memandangkan sebahagian besar pengundi di negeri itu adalah orang Melayu.

"Tak bermakna undi orang Cina dan India tak penting, tetapi kuncinya ialah, pengundi di Selangor, sebahagian besar adalah orang Melayu. Cina serta India pun ada di situ.

"Apa yang saya maksudkan, kalau orang Melayu berduyun-duyun keluar awal pagi, selepas menunaikan solat Subuh, mandi dan bersedia pada jam 7 pagi.

"Lepas itu, kalau ada kenderaan, tak kira siapa, bawa pergi ke tempat buang undi atau naik kereta sendiri... pergilah tunaikan tanggungjawab," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor malam tadi.

Berucap lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, dianggarkan 30 peratus orang Melayu tidak keluar mengundi.

"Mungkin mereka (pengundi Melayu) yakin kita menang. Tetapi 30 peratus itu jumlah yang besar. Kalau hanya lima peratus daripada 30 peratus, mungkin kita dapat menang tiga atau empat kerusi lagi," tambah beliau.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, satu majlis tindakan ekonomi dan pemulihan ekonomi negeri perlu diwujudkan secepat mungkin jika PN membentuk Kerajaan Selangor selepas PRN ini.

Ujar beliau, Menteri Besar dan ahli Exco yang dilantik juga perlu mengambil langkah segera untuk melihat permasalahan rakyat termasuk mengatasi isu miskin tegar.

PN bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada PRN ini.

Daripada jumlah tersebut, Bersatu meletakkan seramai 31 calon, sementara Pas dan Gerakan masing-masing 17 dan lapan kerusi.