KUALA NERANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjangkakan pembahagian kerusi antara gabungan berkenaan dengan Pakatan Harapan (PH) melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah hampir 'sama-rata'.

Menurut beliau, perbincangan melibatkan kedua-dua gabungan berkenaan melibatkan wakil daripada BN dan PH yang seimbang di kesemua 15 Parlimen di negeri Jelapang Padi itu.

Bagaimanapun, jelas bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu, parti penyandang bagi kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berkemungkinan besar akan kekal bertanding di kerusi berkenaan.

Tambahnya, BN dan PH juga perlu mengetepikan ego serta emosi masing-masing ketika rundingan pembahagian kerusi yang mana kini telah selesai lebih daripada 90 peratus melibatkan negeri Kedah.

"Dia tidak juga kalau nak guna pembahagian kerusi (menggunakan istilah) sama rata (antara PH-BN), maknanya (di sini) kalau sudah menang (dalam PRU) 2018, saya ingat (kerusi DUN) yang itu tidak payah runding.

"Cuma nak dirunding kalau guna perkataan sama rata adalah (melibatkan) representasi (parti di dalam kerajaan Perpaduan terutama BN dan PH), siapa representasi (atau wakil) di tempat (DUN) itu, representasi parti dekat (DUN) di situ.

"Kalau boleh awak (PH) separuh saya (BN) separuh, kalau ada dua (DUN di dalam satu Parlimen) bagi seorang satu (antara dua parti itu)," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena penobatan Balai Polis Kampung Tanjung sebagai Johan dalam Pertandingan Balai Polis Cemerlang anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) tahun 2022 (Kategori Balai Polis Luar Bandar) di Pedu pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan PH dan BN Kedah menggabungkan formula terbaik dalam pengagihan kerusi bagi memastikan kemenangan lebih berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dalam PRN akan datang.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, rundingan akhir kini hanya melibatkan empat kerusi atau sekitar 10 peratus yang masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, rundingan membabitkan 32 kerusi DUN telahpun disepakati atas semangat perpaduan.