SIK: Lebih 1,000 penyokong mengiringi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeniri, Datuk Seri Muhmmad Md Nor ke pusat penamaan calon sekitar pukul 9.15 pagi di Pejabat Daerah dan Tanah Sik.

Beliau yang mengenakan persalinan baju Melayu berwarna hijau turut diiringi seorang pencadang serta penyokongnya sebelum memasuki dewan berkenaan bagi meneruskan proses penyerahan dokumen pencalonan.

Muhammad Sanusi yang juga dianggap sebagai panglima Perikatan Nasional (PN) itu turut diarak oleh penyokongnya yang membawa bendera parti selain bersorak di sepanjang laluan sebelum memasuki Pejabat Daerah dan Tanah Sik.

Pergerakan masuk Muhammad Sanusi memasuki dewan mencuri tumpuan apabila beliau sekali lagi membuat aksi lambaian tangan mirip Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu sekali gus menjentik hati penyokong Barisan Nasional (BN) yang melaungkan "tolak Sanusi".

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN bakal berdepan pencabar daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini .

Terdahulu, beliau dan seluruh jentera PN menunaikan solat hajat di Pondok Tuan Guru Haji Saleh, Pekan Sik pada jam 8 pagi sebelum menyertai perarakan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhammad Sanusi menewaskan Mahadzir Abdul Hamid (BN-UMNO) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PH-Bersatu) dengan majoriti 2,455 undi.

Populariti anak kelahiran Sik itu dilihat semakin melonjak selepas memegang jawatan nombor satu di Kedah termasuk dalam kalangan anak muda yang mengikuti perkembangan pemimpin itu di Tik Tok dengan lebih 432,700 pengikut.

Kedah merupakan antara enam negeri yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Lima negeri lain ialah Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.