KUALA NERANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu mengulangi kejayaan sebagai calon ‘underdog’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu yang dimenanginya pada tahun 2004 dan 2008.

Beliau berkata, situasi yang dialaminya kini hampir menyamai tahun 2004 apabila kembali bertanding di DUN Pedu dan berjaya merampas kerusi berkenaan daripada wakil rakyat Pas.

Menurutnya, namun kejayaan lalu itu merupakan sejarah dan ia dijadikan panduan untuk disesuaikan dengan situasi masa kini yang jauh berbeza arus politiknya.

“Tahun 2004, ketika itu saya bertanding sebagai calon ‘underdog’ sebab waktu itu wakil rakyat adalah dari Pas, saya berjaya ambil (menang) kerusi tersebut.

“Kini situasi politik berbeza walaupun saya masih bertanding mewakili BN, saya yakin pengundi akan beri undi kepada saya,” katanya selepas diumumkan sebagai calon DUN Pedu oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Iman Hazwan Abd Halim di Pusat Penamaan Calon (PPC) Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, pada Sabtu.

Mahdzir akan bertembung satu lawan satu dengan penyandang kerusi berkenaan, Mohd Radzi Md Amin daripada Perikatan Nasional (PN-Pas).

Seramai 28,586 pemilih layak mengundi di kawasan DUN Pedu melibatkan 51 saluran mengundi.

Mengulas kenyataan pemerhati politik yang menyifatkan kemenangan dua penggal di DUN Pedu bukan suatu kelebihan, Mahdzir mengakui ia sekadar sejarah dan menjadikan perkembangan politik baharu sebagai panduan untuk mendekati pengundi.

“Itu cerita lama, sekarang kita buka cerita baharu (Kerajaan Perpaduan). Sejarah menjadi panduan, kita tak ambil 100 peratus berdasarkan sejarah lalu. Perkara yang berlaku pada ketika ini harus diambil kira,” ujarnya.

Mahdzir percaya momentum positif sebelum hari penamaan calon serta sokongan akar umbi akan berpihak kepada BN.

“Saya nampak trend positif untuk BN dan PH di DUN Pedu dan DUN Kuala Nerang bawah Parlimen Padang Terap. Campuran undi BN-PH berdasarkan arus yang berlaku mampu berikan kemenangan.

“Pengundi boleh fikirkan sebaiknya apa yang positif untuk kebaikan mereka. Saya lihat pertimbangan (pengundi) atas kebaikan masa depan, bukan emosi,” katanya. - Sinar Harian