ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid tidak mahu terlalu memikirkan soal 'rating' atau tahap sokongan sepanjang kempen, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan itu.
Beliau berkata, setakat hari kelapan berkempen, peluang BN untuk mempertahankan kerusi berkenaan masih seimbang memandangkan setiap calon mempunyai penyokong masing-masing.
"Saya tidak mahu terlalu yakin kerana pesaing juga mempunyai penyokong sendiri. Jadi saya lebih fokus dan tidak melihat 'rating'.
"Lebih baik saya bertemu dengan seramai mungkin pengundi dan akhirnya mereka bijak membuat pilihan pada 14 November nanti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi walkabout di Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir membantu kempen Abdul Hakim ialah bekas Ketua Menteri Melaka, yang juga penyandang kerusi DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Naib Ketua Pemuda BN, Mohd Hairi Mad Shah.
Abdul Hakim menambah, pendekatan itu turut membolehkan beliau mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu dan keperluan penduduk di tiga zon utama DUN Lendu.
Jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka itu lagi, setiap kawasan mempunyai keperluan serta masalah berbeza yang perlu diberi perhatian, antaranya isu banjir dan sistem perparitan.
Sehubungan itu, tegasnya isu berkenaan antara menjadi fokus untuk diselesaikan jika diberikan mandat untuk berkhidmat di kawasan berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Di DUN Lendu ini ada tiga zon yang saya beri tumpuan iaitu taman-taman perumahan, kampung-kampung tradisi dan Pekan Masjid Tanah yang merupakan pusat mini bandar dalam Parlimen Masjid Tanah.
"Jadi semuanya ada kategori ataupun masalah yang berbeza," ujarnya.
Mengulas tawaran manifesto BN khususnya kepada golongan muda, Abdul Hakim menjelaskan tawaran yang dibentangkan gabungan itu perlu dilihat sebagai amanah dan tanggungjawab untuk dilaksanakan sekiranya mendapat mandat rakyat.
Menurut Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka itu, manifesto BN bersama Perikatan Nasional (PN) yang meliputi 20 komitmen Utama turut mempunyai kaitan dengan keperluan penduduk di DUN Lendu, termasuk golongan muda dan masyarakat daripada pelbagai peringkat.
"Tawaran yang dibentangkan adalah sesuatu yang baik untuk dilihat dan dinilai, tetapi ia tidak boleh ditunaikan sekiranya BN tidak mendapat mandat.
"Ia bukan sekadar perkataan atau tulisan yang cantik di atas kertas, kerana apa yang ditawarkan adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan jika BN diberi mandat," ujar Abdul Hakim.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata gerak kerja kempen sepanjang lapan hari diperkukuh dengan sokongan jentera parti, yang disifatkannya memberi impak positif kepada kempen di Lendu.
Abdul Hakim berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nazri Ramli di DUN Lendu.
Pada PRN Melaka ke-15, kerusi berkenaan dimenangi oleh Sulaiman dengan majoriti 3,104 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian, manakala 10 November ini sebagai Hari Undi Awal.