Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Albert Kok harap pengundi Melayu untuk tawan DUN Kesidang

Kok berkata, PN yakin penyertaan lebih ramai pengundi Melayu mampu membantu gabungan itu merampas DUN Kesidang daripada DAP pada PRN Melaka bulan depan. - Foto Astro AWANI
Kok berkata, PN yakin penyertaan lebih ramai pengundi Melayu mampu membantu gabungan itu merampas DUN Kesidang daripada DAP pada PRN Melaka bulan depan. - Foto Astro AWANI

Advertisement

BUKIT KATIL: Perikatan Nasional (PN) berharap penyertaan pengundi Melayu mampu membantu gabungan itu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang daripada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 nanti.

Calonnya, Albert Kok Boon Chang daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkata, berdasarkan kajiannya, kadar keluar mengundi dalam kalangan masyarakat Melayu pada PRN 2021 adalah rendah.

Menurutnya, situasi itu memberi kelebihan kepada PN sekiranya lebih ramai pengundi Melayu tampil menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini.

"Apabila saya dapat tahu pada 2021 itu, orang Melayu cuma 40 peratus yang keluar. Jadi apa sentimen yang berlaku, kita ada kebaikan ialah apabila PN dengan BN bergabung.

"Saya rasa itu impak yang kuat. Kita boleh bertanding dengan DAP, kita boleh menang,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Majlis Pengisytiharan Calon PN di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Kok turut membangkitkan beberapa isu setempat termasuk masalah banjir di Taman Merdeka, penyelenggaraan kemudahan awam serta kesesakan lalu lintas di Malim yang menurutnya masih memerlukan penyelesaian.

Image
Astro AWANI
Albert berdepan penyandang dua penggal, Allex Seah Shoo Chin.

Beliau dijangka berdepan penyandang dua penggal, Allex Seah Shoo Chin, yang dicalonkan semula oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 22 September lalu, DUN Kesidang mempunyai 54,910 pemilih berdaftar, merangkumi 54,343 pengundi biasa dan 567 anggota polis.

Daripada jumlah itu, 28,041 merupakan pengundi wanita manakala 26,869 lelaki.

SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian berlangsung pada 14 November.

Must Watch Video

Advertisement