MELAKA: Tindakan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching menggunakan perkataan lahabau dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah tindakan yang memalukan dan menghina rakyat Melaka, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mohamad Ali berkata, cara berkempen itu memperlekehkan sikap rakyat Melaka yang terkenal dengan budi bahasa dan adab yang tinggi.

"Benar perkataan lahabau memang sering digunakan sebagai dialog dalam perbualan harian, tapi ia hanya digunakan dalam konteks rakan karib dan gurauan sesama sendiri.

"Namun bagi orang luar atau orang yang tidak dikenali adalah sangat tidak molek untuk menggunakan perkataan seperti itu kerana ia merupakan penghinaan dan cacian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Ali yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bagi PRN Melaka kali ini, menyeru rakyat Melaka agar menolak kempen biadap DAP.

Terdahulu, Nie Ching memuat naik poster kempen "Lahabau Melaka, Jom Undi" di media sosialnya.

Selepas dikecam ramai, wakil rakyat DAP itu kemudian meminta maaf dan mengakui kesilapan menggunakan bahasa yang memalukan di media sosial.

Katanya, beliau cuma ingin berkempen melalui "frame" percuma yang didapati di Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan itu.