AYER KEROH: Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan parti itu sepertimana didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, meskipun tidak menerajui Bersatu Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), fokusnya ketika ini memastikan calon Perikatan Nasional (PN) di bawah Parlimen Alor Gajah diberi mandat pada 20 November depan.

"Tujuan orang bertanya macam-macam kedudukan berkenaan Ahli Parlimen Alor Gajah oleh sebab tidak 'dinampakkan' bergerak dalam PRN melaka.

"Apa pun saya hendak nyatakan saya hendak menidakkan orang yang mengatakan saya tidak berada dalam parti atau atau ada ura-ura hendak keluar parti. Itu semua tidak benar, cuma digemburkan pihak tertentu," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah di sini pada Selasa.

Tambah Mohd Redzuan, kepimpinan Bersatu di Parlimen itu sentiasa diberikan sokongan.

"Fokus saya memastikan calon-calon di DUN diberi bantuan secukupnya untuk memberi kemenangan kepada PN.

"Tidak ada timbul kita nak bergerak berasingan tapi kita akur dengan keputusan parti," katanya lagi.

"Apa pun kita akan sumbang pergerakan itu sendiri dan seboleh mungkin selaraskan pergerakan (calon) dalam fasa berkempen dalam pilihanr aya ini," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, dengan 495,195 pengundi berdaftar.