BANDAR HILIR: Pakatan Harapan (PH) Melaka akan kekal membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta keabsahan kerajaan 'caretaker' ke mahkamah meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah ditetapkan.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, ini kerana setakat ini pihaknya belum memfailkan perkara itu ke mahkamah kerana masih menunggu warta pembubaran daripada Setiausaha Dewan DUN.

Menurut beliau, keputusan menetapkan pelaksanaan PRN juga disifatkan sebagai langkah tergesa-gesa.

“PH masih akan meneruskan tindakan mahkamah kerana setakat ini kami belum menerima warta pembubaran DUN dan kalau ikutkan, Setiausaha Dewan akan beri warta itu hari ini.

“Untuk failkan isu berkenaan kepada mahkamah, kita memerlukan warta berkenaan dan sehingga kini belum diserahkan kepada kami,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun, ujar bekas Ketua Menteri Melaka itu, memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah membuat ketetapan, PH Melaka bersedia untuk mengharunginya dan memberikan kerjasama.

“Kita memang akan gunakan saluran mahkamah, tetapi sekiranya terpaksa juga berdepan PRN, tentunya PH bersedia untuk mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Tetapi kita melihat dari awal lagi kerajaan ada agenda tersendiri, bubar DUN pun tergesa-gesa dan hari ini umum tarikh PRN juga tergesa-gesa,” tambahnya.

SPR terdahulu mengumumkan hari pengundian PRN Melaka pada 20 November depan, hari mengundi awal pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.

Ia selepas DUN Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Adly sebelum ini memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpul maklumat dan menyiapkan proses dokumentasi berhubung keabsahan pembubaran yang dipersetujui Mohd Ali itu.