MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya, di sini hari ini menolak bantahan awal dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi responden terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan bahawa mahkamah menolak bantahan awal tersebut selepas mengambil kira kepentingan awam.

Beliau kemudian menetapkan 24 Mac hingga 31 April depan sebagai tarikh perbicaraan.

Perbicaraan berkenaan akan membabitkan Mohamad Ali dan tiga responden iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, SPR dan Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Udang di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh.

[TERKINI] Bantahan awal petisyen DUN Sg Udang ditolak


Peguam yang mewakili Mohamad Ali, Datuk Mohd Hafarizam ketika ditemui selepas sesi pendengaran berkenaan berkata, pihaknya bersiap sedia menyediakan 30 saksi dan sapina bagi perbicaraan tersebut.

Katanya, beliau turut difahamkan pihak responden akan mengemukakan lima saksi pada sesi berkenaan.

“Bagi pihak pempetisyen, kami bersiap sedia dan akan bawa (saksi) ke mahkamah untuk pendengaran.

“Kami akan membuktikan apa jua alegasi-alegasi yang sudah kami buktikan dalam petisyen pilihan raya, bahawasanya ada perlakuan rasuah dan ketidak patuhan kepada peraturan perjalanan Pilihan Raya 1981,” ujarnya.

Pada prosiding itu, Dr Mohd Aleef yang tidak hadir diwakili peguam, Mosli Dahalan.

Pada PRN  Melaka 20 November lalu, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Dr Mohd Aleef dalam pertembungan empat penjuru, dengan majoriti 530 undi.

Mohamad Ali yang tewas dalam PRN itu memfailkan petisyen pada 14 Disember lalu bagi membatalkan keputusan yang memihak kepada Dr Mohd Aleef daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO  Negeri, memfailkan petisyen kepada tiga responden iaitu dr. Mohd aleef, SPR dan Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang.