MELAKA: Pas Melaka akur dengan keputusan yang dibuat pimpinan pusat parti berkenaan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Piihan Raya Negeri (PRN) itu.

Menurut Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sidek, Pas negeri memahami bahawa PN  merupakan gabungan parti-parti politik yang berdaftar sementara Muafakat Nasional (MN) hanyalah gagasan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Sehubungan itu, Pas Melaka, jelas Kamaruddin, akan cuba mengelak daripada berlaku pertembungan kerusi di 28 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan di PRN pada 20 November ini.

" PN dan Barisan Nasional (BN) sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi," kata beliau kepada Astro AWANI pada Selasa.

Bagaimanapun, sekiranya wujud pertembungan lebih daripada dua penjuru, Pas, tegas beliau, akan mengambil pendekatan menyokong penyandang kerusi yang memenangi di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Kalau berlaku juga (pertembungan lebih dua penjuru), Pas akan ambil sikap menyokong pemegang kerusi PRU14," jelasnya lagi.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.

Ketetapan itu, kata Abdul Hadi, mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang bersidang 31 Oktober lalu dan selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.

[

TERKINI] Pas guna lambang PN dalam PRN Melaka

BACA: PRN Melaka: Pas guna lambang PN - Hadi Awang