AYER KEROH: Sebuah pasukan penguat kuasa bersepadu membabitkan polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditubuhkan bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) di pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata pasukan itu akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan sepanjang proses berkenaan.

"Bagi menguat kuasa peraturan, PDRM telah mengambil pendekatan baharu di mana kita wujudkan pasukan intergrated team dalam pasukan itu terdiri daripada polis, KKM dan MKN.

"Pasukan ini akan ambil tindakan atas kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan. Kesalahan melanggar Akta Pilihan Raya pula akan diambil pasukan pemantau pilihan raya," jelasnya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Abdul Majid, ia bagi memastikan semua pihak patuh dengan arahan yang dikeluarkan sebelum ini.

"Tujuannya bagi memastikan tiada pelanggaran Akta 342 dan berkaitan Akta Pilihan Raya. Ia bagi memberi keadilan dan mengelakkan sebarang tomahan terhadap pihak penguat kuasa kononnya mengambil tindakan tidak mengikut peraturan.

"Hanya di Melaka kita tubuhkan pasukan ini, kerana kita berada di fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya lagi.

Mengulas lanjut berhubung sekatan jalan raya yang akan dijalankan, tambah Abdul Majid, ia bagi tujuan pencegahan jenayah dan bukannya sekatan pergerakan.

"Saya telah berbincang semula dengan SPR, sekatan jalan raya adalah berdasarkan penilaian keselamatan.

"Jika tiada desakan, sekatan jalan raya tidak akan diletakkan secara tetap, tetapi lebih kepada pencegahan jenayah dan bukan untuk menyekat pergerakan orang ramai," katanya lagi.