Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: Permohonan undi pos dibuka hari ini - SPR

SPR
Semua permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui portal MySPR, manakala tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dibuka hari ini untuk semua kategori.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata semua permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui portal MySPR di https://myspr.spr.gov.my, manakala tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak.

“Pemilih yang layak dan berhasrat mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan untuk mengundi secara pos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan itu melibatkan Kategori 1A yang merangkumi anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media.

Permohonan turut dibuka bagi Kategori 1B untuk warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C melibatkan agensi atau organisasi.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh menghubungi talian 03-88927080 atau menerusi e-mel [email protected].

Semalam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum turut menyerahkan notis pembubaran itu kepada SPR semalam.

Pada PRN Melaka ke-15 yang diadakan pada 20 Nov 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga, manakala Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

Penggal DUN Melaka sepatutnya berakhir 27 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement