AYER KEROH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memaklumkan bahawa pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai nasib empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong gabungan itu.

Jelasnya, perkara itu akan dibawa dan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH.

"Kita belum ada sebarang perbincangan, kita dalam PH akan muktamadkan dalam Majlis Presiden di peringkat nasional.

"Dalam proses kita, dalam PH cuba bina khemah besar, semua pihak kita libatkan bagi menghadapi PRN (pilihan raya kecil)," jelasnya.

Mengulas lanjut, Adly berkata, jentera PH ketika ini telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Taklimat Pakatan Harapan (PH) Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh pada Isnin.

Majlis itu dilancarkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.