TELOK MAS: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menyokong penuh pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan parti itu diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Malah, tegasnya, sokongan itu juga wajar diberikan oleh semua ahli dalam memastikan kemenangan parti untuk membentuk kerajaan negeri.

“Sebagai orang parti dan juga pemimpin parti, saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kempimpinan Bersatu dan juga Majlis Tertinggi Perikatan  Nasional dan saya sebagai Pengerusi PN Melaka memberikan sokongan sepenuhnya kepada keputusan tersebut.

“Jadi, saya minta dan memohon semua jentera PN seluruh negeri Melaka untuk terus bekerja keras bagi kemenangan calon-calon PN di semua kerusi yang kita tandingi,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiah di sini, yang turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri itu ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya pencalonan Mas Ermieyati memberi gambaran jelas beliau ditolak parti berkenaan, beliau berkata, itu hanya pandangan peribadi sesetengah pihak semata-mata.

Ini kerana, apa yang paling utama ialah, beliau terus fokus berkempen di kawasan yang ditandingi tanpa berasa tergugat.

“Saya fikir itu hanya satu spekulasi sahaja kerana sejak semalam, selepas mendapat tahu keputusan dibuat pucuk pimpinan, saya konsisten meneruskan kempen-kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas ini.

“Fokus saya sebagai calon PN di Telok Mas ini tidak hilang bahkan jadual saya terus padat sehingga tempoh terakhir berkempen jam 12 malam ini untuk saya bertemu seramai mana pengundi yang boleh,” tambah Mohd Rafiq lagi.

Semalam, teka-teki siapakah calon bakal Ketua Menteri PN terjawab apabila Muhyiddin menamakan Mas Ermieyati yang juga calon DUN Tanjung Bidara sebagai Ketua Menteri jika parti berkenaan diberi mandate dalam PRN Melaka esok.

Muhyiddin berkata, pemilihan Mas Ermieyati itu diputuskan sebulat suara pada mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN.