KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan dalam menentukan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Penulis Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, Dr G. Manimaran, SPR sebagai badan pengurusan pilihan raya perlu menentukan apakah SOP paling sesuai dan diterima semua parti politik.

Manimaran juga menjelaskan, SPR perlu melakukan libat urus dengan semua parti-parti politik bagi menentukan SOP terbaik bagi PRN Melaka dan pilihan raya seterusnya.

"Kementerian Kesihatan dan SPR perlu mengkaji balik selepas banyak parti yang tidak puashati maka perlulah larangan itu dikaji semula.

"SPR sebagai badan pengurusan pilihan raya perlu mengadakan engagement (sesi libat urus) dengan semua parti politik kerana sebelum ini kita pernah dengar SPR mengadakan engagement, mengadakan taklimat kepada semua parti politik, seperti penggunaan dakwat hitam atau dakwat kekal misalnya.

"Bermaksud dalam memperkenalkan SOP, gunakan Pilihan Raya Negeri Melaka ini sebagai batu loncatan, jadikan ia sebagai satu pengalaman penting, mereka perlu bertemu dengan semua parti politik, SPR perlu datang dengan SOP yang diterima semua," katanya kepada Astro AWANI.

Jelas beliau, SOP yang diterima semua pihak amat penting bagi memastikan kebebasan bersuara dan proses demokrasi terus subur biarpun sedang berdepan pandemik COVID-19.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat biarpun sudah ada teknologi baru, namun parti-parti politik masih selesa dengan teknologi lama.

Kerana keselesaan dengan teknologi lama itu, Manimaran menyarankan kerajaan mengkaji semula larangan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) tentang perhimpunan sosial ketika PRN Melaka.

"Walaupun kita ada teknologi baharu tetapi di negara kita, kita masih bergantung dengan teknologi tradisi, maksudnya calon lebih selesa bertemu pengundi, bertemu rakyat, bertemu bakal pemilih yang akan menentukan nasib mereka.

"Sebab itu saya rasa kerajaan perlu mengkaji balik, kalau boleh memberikan kelonggaran kerana kita tidak boleh memperkenalkan satu pendekatan secara total (menyeluruh), larangan total dalam melarang calon dan parti mengadakan aktiviti," katanya lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan media pada Ahad memaklumkan larangan aktiviti, perhimpunan, majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November depan.

BACA: PRN Melaka: Perhimpunan berkaitan pilihan raya dilarang mulai 25 Okt

Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.