SHAH ALAM: Beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor semalam meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap hantaran yang menghina Sultan Selangor menerusi media sosial.
Kesemua mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau, biadab dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.
Advertisement
Exco Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata tindakan berkenaan merupakan satu bentuk penghinaan serius terhadap Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara.
“Mana-mana pihak yang terlibat tidak boleh dilindungi, tidak kira latar belakang atau alasan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata tindakan memuat naik suntingan gambar menghina dan mengaitkannya dengan Sultan Selangor boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.
“Saya seru PDRM jalankan siasatan dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat manakala MCMC perlu memantau, menyekat dan menurunkan kandungan berunsur penghinaan ini,” katanya.
Turut mengecam hantaran berkenaan ialah Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi; Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail serta Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu.
-- BERNAMA