AYER KEROH: Datuk Seri Sulaiman Md Ali dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk membentuk kerajaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Mengumumkan perkara itu, Pengarah Jentera Pilihan Raya BN  bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan, Sulaiman dilihat sebagai pemimpin yang disenangi rakyat Melaka serta bebas daripada isu.

"Saya harap pentadbiran beliau diterima ramai, beliau tiada isu…Insya-Allah jika diizinkan Allah kita jadikan Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Melaka yang baharu," kata Mohamad dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN selepas melancarkan manifesto BN di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai beberapa nama yang sebelum ini turut disebut sebagai calon Ketua Menteri daripada BN, Mohamad, pemimpin-pemimpin berkenaan berpotensi untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri atau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.

Apa yang utama, kata Mohamad ialah, kerajaan negeri yang bakal dibentuk lebih stabil dan bebas daripada sebarang ancaman pemimpin yang berpaling tadah.

"Kita mesti ada satu parti teras tubuhkan kerajaan, kalau nak kestabilan politik mesti kita sendiri tubuhkan kerajaan.

"Kerana kita tak mahu setiap ketika ada orang mengugut dan mengancam untuk tarik sokongan, akhirnya rakyat juga akan susah.

"Saya harap rakyat Melaka pada 20 November ini pilih parti (yang) telah terbukti… kita sudah ada track record yang lama dan bagi kepada satu parti teras (iaitu) BN mentadbir Melaka," jelasnya lagi.