Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Tiga exco dijangka disingkir, ujian pertaruhan politik Ab Rauf?

BN dijangka mengumumkan senarai calon bagi PRN Melaka pada 24 Oktober ini - Foto Facebook Ab Rauf Yusoh
BN dijangka mengumumkan senarai calon bagi PRN Melaka pada 24 Oktober ini - Foto Facebook Ab Rauf Yusoh

Advertisement

PERCATURAN calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi ujian penting terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dengan sekurang-kurangnya tiga anggota EXCO negeri dikatakan berisiko tersingkir daripada senarai calon.

Nama yang disebut-sebut berkemungkinan tidak dipertahankan ialah EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan NGO merangkap Pengerusi MIC Melaka Datuk VP Shanmugam yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek.

Selain itu, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu) serta EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek).

Jika spekulasi itu menjadi kenyataan, keputusan berkenaan bukan sekadar pertukaran nama dalam senarai calon, malah boleh mencerminkan usaha BN menyusun semula kekuatan politiknya di Melaka menjelang persaingan pilihan raya yang semakin mencabar.

Lebih menarik, percaturan itu turut dikaitkan dengan kemungkinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak dicalonkan semula di DUN Lendu, selain Datuk Zaidi Attan (Serkam) dan Datuk Siti Faizah Abd Aziz (Sungai Rambai).

Image
JOHOR BAHRU, 29 Jun -- Suasana perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dapat dilihat di sekitar Taman Pelangi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Apa makna kepada 'atur gerak' ini?

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, kemungkinan pengguguran beberapa penyandang boleh menjadi strategi BN untuk menyegarkan kepimpinan, menilai semula prestasi wakil rakyat serta memperkukuh kedudukan politik parti.

Beliau berkata langkah itu juga berpotensi memberi ruang kepada Ab Rauf membentuk pasukan kepimpinan yang lebih serasi dan tersusun bagi mendukung agenda pentadbiran negeri, jika BN kembali memperoleh mandat pada PRN Melaka ke-16 yang dijadual pada 14 November ini.

"Perubahan ini juga mencerminkan usaha BN membentuk identiti kepimpinan negeri yang lebih jelas di bawah Ab Rauf khususnya untuk menghadapi persaingan politik yang semakin mencabar.

"Namun begitu, pembaharuan generasi tidak semestinya memerlukan penyingkiran pemimpin lama sepenuhnya kerana pengalaman mereka masih penting untuk memastikan kesinambungan sokongan akar umbi serta membantu calon baharu memperoleh kepercayaan pengundi," katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat. 

Menurut Tawfik, BN Melaka juga boleh mengambil iktibar daripada kejayaan menyegarkan barisan kepimpinan dan calon di Johor serta Negeri Sembilan sebelum ini, yang menyumbang kepada kemenangan besar BN dalam siri pilihan raya di kedua-dua negeri berkenaan.

Ujarnya, kemunculan muka baharu daripada sayap Pemuda dan Puteri UMNO serta kepimpinan bahagian memberi isyarat positif bahawa gabungan itu sedang berusaha memperluas kumpulan pelapis kepimpinannya.

Di sebalik potensi pembaharuan itu, BN berdepan persoalan besar: sejauh mana pengguguran penyandang berpengaruh mampu memperkukuh parti tanpa mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong dan jentera akar umbi?

Ujian kesetiaan dan kematangan parti

Kemungkinan Sulaiman tidak dicalonkan semula di Lendu menjadi antara perkembangan yang wajar diperhatikan, memandangkan kedudukan beliau sebagai bekas Ketua Menteri dan rekod kemenangan di kawasan berkenaan.

Tokoh politik itu menang dengan majoriti sebanyak 3,104 undi dalam PRN pada 2021, dan telah mempertahankan kerusi berkenaan selama tiga penggal bermula sejak 2013.

Mengulas lanjut, Tawfik berpandangan sekiranya perkara itu berlaku, ia lebih sesuai dilihat sebagai proses peralihan kepimpinan dan perubahan generasi, bukannya penolakan terhadap sumbangan Sulaiman sepanjang penglibatannya dalam politik negeri.

Beliau juga yakin Sulaiman akan terus menyokong parti meskipun tidak dipilih sebagai calon, berdasarkan rekod politiknya yang tidak menentang kepimpinan BN selepas menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada Ab Rauf.

"Saya yakin penggantian Sulaiman tidak menjejaskan potensi BN kerana beliau seorang yang setia kepada parti dan tidak sesekali akan mengkhianati parti.

"Beliau sanggup melepaskan jawatan Ketua Menteri dan menyerahkan jawatan itu kepada Ab Rauf, selain tidak pernah menyerang atau melompat ke parti lain sehingga hari ini. Saya yakin beliau boleh meredakan penyokong dan ahli di kawasan yang diwakilinya sekiranya tidak dicalonkan semula," ujarnya.

Bagaimanapun, persoalan sama ada penyokong setia seseorang penyandang akan menerima keputusan parti tanpa bantahan kekal menjadi cabaran, terutama jika penggantinya belum mempunyai pengaruh setanding di peringkat akar umbi.

Image
41770286109_MohammadTawfikYaak.jpg
Dr Mohammad Tawfik

Muka baharu, atau risiko kehilangan sokongan?

Tawfik menjelaskan, BN perlu memastikan pemilihan calon baharu dibuat berdasarkan keupayaan, prestasi dan penerimaan pengundi, bukannya semata-mata kedudukan seseorang dalam struktur parti.

Beliau mengingatkan bahawa perubahan yang terlalu drastik boleh mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong penyandang dan melemahkan jentera pilihan raya, sekali gus menjejaskan peluang BN mempertahankan kerusi yang ditandingi.

Dalam konteks itu, keputusan calon kali ini bukan hanya berkisar tentang siapa yang kekal atau tersingkir, tetapi turut menjadi ukuran keupayaan kepimpinan BN mengurus peralihan kepimpinan tanpa mengorbankan kekuatan organisasi parti.

Bagaimanapun, nama-nama yang dikaitkan dengan kemungkinan digugurkan itu masih bersifat spekulasi dan tertakluk kepada pengumuman rasmi pucuk pimpinan parti yang dijadual pada 24 Oktober ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari penentuan dalam parti demokrasi di negeri Melaka manakala penamaan calon pada 31 Okt dan undi awal pada 10 Nov. 

Dalam PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi dipertaruhkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. 

Must Watch Video

Advertisement