MELAKA: Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong menyifatkan taruhan tiga calon muka baharu sebagai "resipi terbaik" parti itu untuk memenangi keseluruhan tujuh kerusi yang diperuntukkan kepada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, 14 Nov ini.
Tiga calon muka baharu yang dipertaruhkan DAP pada PRN Melaka kali ini seperti diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lepas ialah Jegasilan K di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Poo Long Suan (Duyong) dan Jason Tze-Xi Nathan (Pengkalan Batu).
"Saya tegaskan sekali lagi, DAP akan bertanding di tujuh kerusi DUN sepertimana yang diumumkan Pengerusi PH, baru-baru ini.
“Jadi, tiada isu penambahan kerusi atau terkilan (dengan pembahagian kerusi) … kita akan cuba yang terbaik untuk mempertahankan empat kerusi yang dimenangi sebelum ini, selain berikhtiar sehabis baik untuk merampas tiga lagi kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membeli set borang kertas penamaan calon bagi DAP di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Melaka di Wisma Persekutuan, di sini hari ini.
Khoo berkata DAP kali ini menampilkan julat umur antara 31 hingga 56 tahun dengan latar belakang akademik dan kemahiran amat menyakinkan termasuk calon yang memiliki kelulusan ijazah sarjana dalam bidang undang-undang serta kesusasteraan Tamil.
Sabtu lepas, Anwar mengumumkan senarai 21 calon parti gabungan dalam PH yang akan bertanding pada PRN Melaka bulan depan.
Selain DAP yang akan bertanding tujuh kerusi, parti gabungan PH lain, iaitu Amanah diperuntukkan lima kerusi, manakala PKR pula sembilan kerusi.
Pada PRN Melaka kali ini, DAP mengekalkan empat penyandang untuk mempertahankan kawasan masing-masing, iaitu Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chaun Yen (Banda Hilir).
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.
-- BERNAMA