KUALA LUMPUR: Polis merekodkan 77 kes berkaitan kegiatan sindiket keldai dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan 93 individu ditahan bagi tempoh Januari hingga 15 Okt lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua kes itu melibatkan rampasan 2,526.28 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM202.76 juta.
Beliau berkata daripada jumlah kes tersebut, 64 kes melibatkan rampasan 2,407.27 kg bunga ganja, empat kes syabu seberat 77.83 kg, ketamin seberat 22.11 kg (empat kes), 15.585 kg kokain (tiga kes) serta campuran ketamin dan ganja seberat 3.475 kg (dua kes).
“Daripada keseluruhan tangkapan pula, warga United Kingdom mencatat jumlah tertinggi, iaitu 26 orang, diikuti Malaysia (23), Singapura (11), Jepun (lima) dan Perancis (enam).
“Tangkapan dari Hong Kong, Indonesia, India, Ireland, Portugal dan Jerman pula masing-masing dua individu serta seorang individu masing-masing dari Belanda, Greece, Sweden, Slovakia, Amerika Syarikat, Brazil, Uganda, Zambia, Thailand dan China,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata 45 kes direkodkan menerusi kerjasama dengan Polis Bantuan AVSEC Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di KLIA serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“Sebanyak 25 kes lagi melibatkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JSJN, termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) KLIA serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Selain itu, tujuh kes direkodkan menerusi operasi susulan yang membawa kepada penahanan 12 individu serta rampasan bunga ganja seberat 571.59 kg,” katanya.
Hussein berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan JSJN bersama-sama agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras penyeludupan dadah dan mengekang sindiket yang mempergunakan individu sebagai keldai dadah.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pekerjaan atau ganjaran lumayan yang mencurigakan, khususnya melibatkan urusan membawa bagasi atau barangan milik pihak lain ke luar negara tanpa mengetahui kandungannya. Laporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” katanya.
-- BERNAMA