Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: 173 permohonan permit ceramah, kempen diluluskan setakat ini - Polis

JELEBU, 20 Julai -- Suasana di Pekan Titi makin meriah dengan bendera parti politik dipasang menghiasi jalan-jalan utama serta kawasan tumpuan orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.  Perang bendera itu turut menjadi antara tarikan perhatian penduduk serta pengguna jalan raya dengan kempen diharap terus berlangsung dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Sebanyak 173 daripada 178 permohonan penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 diluluskan bagi tempoh 18 Julai lepas hingga semalam. - Gambar Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Sebanyak 173 daripada 178 permohonan penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 diluluskan bagi tempoh 18 Julai lepas hingga semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua program dan aktiviti politik yang diluluskan dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, pihaknya menerima sembilan laporan polis dan membuka lima kertas siasatan dengan satu daripadanya dibuka semalam berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api hingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, setakat ini, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya  pada tahap yang baik dan terkawal. 

“Orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM di lapangan bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan teratur,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement