SEREMBAN: Seramai 15,344 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digerakkan bagi mengendalikan proses pengundian di 401 pusat mengundi di seluruh Negeri Sembilan, yang melibatkan 859,760 pengundi berdaftar, esok.
Menurut SPR, proses semakan menyeluruh terhadap semua peralatan mengundi termasuk peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi sudah dilaksanakan bagi memastikan semuanya dalam keadaan sempurna.
“SPR menggalakkan pengundi supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk keluar mengundi.
“Pengundi disaran merancang perjalanan dan hadir mengikut masa dicadangkan seperti dipaparkan menerusi aplikasi MySPR Semak bagi membantu melancarkan aliran pengundian di setiap pusat mengundi.
“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi tujuan pengesahan identiti oleh petugas di saluran mengundi.
“Mereka juga diingatkan membuat semakan awal mengenai pusat mengundi, saluran dan nombor giliran masing-masing melalui portal atau aplikasi MySPR Semak,” kata SPR menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Majikan juga diingatkan supaya memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
SPR turut menegaskan semua bentuk aktiviti berkempen perlu dihentikan tepat jam 11.59 malam ini, termasuk rayuan undi menerusi platform media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok dan Threads.
Pada masa sama, semua pengundi, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi dilarang memakai pakaian, topi atau pelitup muka yang memaparkan nama, lambang, simbol parti, gambar calon atau slogan berunsur kempen.
Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh menyebabkan mereka dihalang daripada memasuki pusat mengundi.