SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru rakyat negeri itu supaya menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos depan untuk memberi hukuman kepada pihak yang disifatkannya sebagai telah mengkhianati mandat rakyat.
Menurut beliau, pengkhianatan yang berlaku ketika kerajaan sedang giat memacu pembangunan negeri sehingga memaksa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), merupakan satu tindakan yang sukar diterima rakyat.
“Kita sedang bersungguh-sungguh untuk memastikan negeri ini dapat dibangunkan dengan lebih cepat lagi. Ketika kita sedang laju, kita terpaksa berhenti sebentar mencari sokongan rakyat dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat.
“Saya yakin rakyat Negeri Sembilan tidak mampu menerima apa yang berlaku ini untuk diteruskan,” katanya.
Penyandang kerusi DUN Sikamat yang juga Naib Presiden PKR itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Seremban pada Jumaat.
Aminuddin berkata, senario itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menghentikan seketika agenda pembangunan yang sedang berjalan bagi mendapatkan semula mandat rakyat menerusi pilihan raya.
Dalam pada itu, Aminuddin mengakui beliau sedikit tersentak apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Negeri Sembilan tidak diadakan serentak dengan pilihan raya negeri di Johor seperti yang dijangkakan sebelum ini.
“Walaupun kita agak tersentak apabila pilihan raya ini tidak bersama dengan pilihan raya di Negeri Johor, tetapi saya yakin ada hikmah di sebaliknya.
“Ada kekuatan yang boleh kita bina dan saya yakin kita mampu melaksanakan lebih baik daripada apa yang kita ada pada hari ini,” ujarnya.
Beliau turut menggesa seluruh jentera Pakatan Harapan supaya mengenepikan perbezaan dan memberi sokongan penuh kepada calon yang bakal dipilih parti.
“Saya tidak ingin dengar daripada mana-mana pihak yang tidak menyokong calon diumumkan pimpinan. Apa jua calon yang dipilih, kita mesti menyokongnya.
“Kita tidak boleh mengkhianati parti hanya kerana mempertimbangkan kepentingan peribadi seseorang,” katanya.
Dalam masa sama, Aminuddin menyeru anak rantau Negeri Sembilan pulang mengundi bagi memastikan kadar keluar mengundi melepasi 80 peratus.
Beliau berkata, pengundi mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan negeri serta memberi pengajaran kepada pihak yang didakwa telah mengkhianati mandat rakyat.
“Yang mampu memberi hukuman adalah pengundi. Inilah masanya untuk kita tunjukkan kepada mereka apa itu demokrasi, apa itu kesatuan dan apa itu perpaduan,” katanya.
Aminuddin turut menyatakan keyakinan bahawa PH mampu mempertahankan pentadbiran negeri dan membentuk kerajaan yang lebih stabil selepas PRN kali ini.