Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Anwar turun kempen petang ini, perhebat momentum PH

KUALA PILAH, 14 Julai -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang malam ini.
Kehadiran kali pertama Anwar bagi menyertai kempen dijangka menjadi antara tumpuan utama gabungan berkenaan dalam usaha mempertahankan pentadbiran negeri yang diterajui Aminuddin Harun. - Gambar fail Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun padang berkempen di Negeri Sembilan hari ini dalam usaha memperhebat momentum Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

Memasuki hari kelima tempoh kempen hari ini, kehadiran kali pertama Pengerusi PH itu bagi menyertai kempen dijangka menjadi antara tumpuan utama gabungan berkenaan dalam usaha mempertahankan pentadbiran negeri yang diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar yang juga Presiden PKR dijadual menghadiri empat program melibatkan kawasan Ampangan, Paroi, Sikamat dan Senawang, merangkumi sesi bersama masyarakat, belia serta ceramah perdana gabungan berkenaan.

Beliau akan memulakan siri program pada 4 petang ini menerusi Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampangan, sebelum menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (KOMBES), Paroi, pada 5 petang.

Pada sebelah malam pula, Anwar dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sebelum menyertai ceramah perdana Pakatan Harapan DUN Paroi di Pusat Bandar Senawang.

Langkah turun padang Anwar hari ini dijangka memperkukuh lagi mesej kempen PH berhubung tawaran manifesto yang dilancarkan Isnin lepas mengandungi 10 komitmen utama dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri termaju yang inklusif.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN yang dipetandingkan menyaksikan 16 calon daripada PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan calon Amanah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement