KUALA LUMPUR: Penghargaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kejayaan penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu lepas menjadi suntikan semangat kepada SIC untuk terus mengharumkan nama negara menerusi penganjuran acara sukan permotoran bertaraf dunia.
Ketika mengumumkan Belanjawan 2027 hari ini, Anwar menyifatkan kejayaan penganjuran perlumbaan berprestij itu sebagai bukti bahawa semangat perpaduan dan kerjasama erat rakyat berbilang kaum merupakan kekuatan utama negara dalam mencapai kecemerlangan di pentas antarabangsa.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata kejayaan itu turut mencerminkan komitmen ribuan sukarelawan, penjawat awam dan petugas F1 yang berganding bahu bagi memastikan kelancaran acara berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata penghargaan itu amat bermakna, khususnya kepada seluruh pasukan yang bertungkus-lumus menjayakan perlumbaan berkenaan meskipun persiapan perlu dilakukan dalam tempoh singkat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri serta semua kementerian dan agensi kerajaan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi memastikan kelancaran penganjuran acara itu.
“Saya amat terharu dengan penghargaan yang disampaikan oleh Perdana Menteri berhubung penganjuran F1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Malaysia.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri serta semua warga kementerian dan agensi yang banyak membantu, menyelaras dan memberi peluang kepada kami untuk menganjurkan perlumbaan F1 kali ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Azhan Shafriman berkata kejayaan penganjuran perlumbaan itu membuktikan pentingnya kerjasama erat antara semua pihak, selain komitmen tinggi pasukan penganjur dalam memastikan setiap aspek acara berjalan lancar.
Mengulas kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada masa depan, beliau berharap kerjasama strategik antara kerajaan, agensi berkaitan dan semua pihak yang terlibat dapat diteruskan bagi merealisasikan hasrat itu.
-- BERNAMA