Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jangan kejar undi sampai ‘terbakar rumah’ - Fahmi

[TB]_Fahmi Fadzil, PC Pakatan Harapan_ASTRO AWANI
Fahmi berkata, sentimen perkauman boleh menghakis perpaduan dan keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan Malaysia dan Negeri Sembilan. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 supaya tidak menjadikan sentimen perkauman sebagai modal politik untuk meraih sokongan pengundi.

Menurut beliau, pendekatan sedemikian mungkin mampu memberikan keuntungan politik dalam jangka pendek, namun kesannya boleh menghakis perpaduan dan keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan Malaysia dan Negeri Sembilan.

“Jangan menggunakan isu-isu sensitif untuk meraih undi. Kerana seperti Naib Presiden Amanah, Datuk Mohd Hatta Md Ramli sebutkan tadi, boleh raih undi, tetapi terbakar rumah.

“Itu bukan satu keadaan yang baik. Hanya untuk memegang kuasa sanggup membakar sentimen perkauman dan merosakkan perpaduan,” katanya pada sidang media PH yang turut dihadiri Mohd Hatta di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, ketika negara bakal memasuki Bulan Kebangsaan, semua pemimpin politik dan calon pilihan raya mempunyai tanggungjawab untuk menyemai semangat perpaduan serta mengukuhkan hubungan antara kaum.

Menurut Fahmi, rakyat kini lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pemilikan rumah, berbanding polemik yang menyentuh sentimen perkauman.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pilihan raya seharusnya menjadi gelanggang persaingan idea dan dasar, bukannya pentas menyebarkan kebencian, fitnah atau memainkan sentimen kaum, agama serta institusi diraja.

“Parti-parti yang bertanding sepatutnya bersaing dengan idea, dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian kepada permasalahan rakyat, bukan menggunakan politik kebencian atau politik yang memisah-misahkan.

“Apabila sebuah parti ketandusan idea, mereka sanggup menjual kebencian dan perpecahan. Apabila sebuah parti yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menawarkan harapan berdasarkan fakta, bukti dan pencapaian.

“Politik perkauman tidak menurunkan harga barang. Fitnah tidak membina rumah mampu milik dan hasutan tidak membawa masuk pelaburan baharu,” katanya.

Beliau turut menggesa semua parti menghormati undang-undang pilihan raya sepanjang tempoh kempen dan memastikan setiap kenyataan dikeluarkan berasaskan fakta, bukannya bertujuan mencetuskan kebencian atau ketakutan dalam kalangan rakyat.

Katanya, Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai sebuah negeri aman dan harmoni hasil hubungan baik antara kaum yang dibina sejak sekian lama, justeru keadaan itu tidak wajar dikorbankan demi kepentingan politik sempit.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata undang-undang sedia ada memadai untuk menangani kenyataan berunsur hasutan, namun apa yang lebih penting ialah kesedaran semua pemimpin politik supaya tidak mengeksploitasi isu sensitif semata-mata bagi meraih undi.

“Jadi pilihlah parti yang memupuk kesatuan dan perpaduan di kalangan rakyat, bukan mereka yang mahu memecah-belahkan kita atas dasar perkauman,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement