KUALA LUMPUR: Pendekatan kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mula mengubah momentum serta suasana pengundian menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Ia antara sembilan dapatan yang dikeluarkan oleh IDE Research Centre (IDERC) hasil Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang PRN ke-16, hari ini, iaitu sehari sebelum hari pengundian yang dijadual Sabtu.
Bagaimanapun, IDERC menegaskan belum ada mana-mana parti yang boleh dianggap mendominasi secara mutlak atau mempunyai laluan selesa.
"Pendekatan yang menekankan penerangan isu, rekod pentadbiran, kestabilan politik dan keperluan menjaga institusi negara telah meningkatkan perhatian masyarakat terhadap isu-isu semasa.
"Kehadiran beliau (Anwar) dalam program di Negeri Sembilan turut mengetengahkan penilaian berasaskan prestasi dan integriti kepimpinan negeri, selain mengingatkan parti politik supaya tidak mengeksploitasi isu institusi diraja dan Perlembagaan dalam kempen.
"Perkembangan ini mendorong sikap yang lebih positif dalam kalangan sebahagian pengundi untuk mencari maklumat, menyemak fakta dan memahami konteks sebenar isu yang dibangkitkan sepanjang kempen," kata IDERC dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, kajian itu menyatakan tiga kelompok utama dijangka menjadi penentu keputusan akhir iaitu pengundi atas pagar, pengundi yang membuat keputusan pada minggu terakhir serta pengundi yang menyatakan sokongan tetapi belum tentu keluar mengundi.
Dalam pada itu, keupayaan parti meningkatkan kadar keluar mengundi, khususnya dalam kalangan pengundi muda, Cina dan India, dijangka menjadi sama penting dengan usaha menarik pengundi baharu.
"Pada masa yang sama, lapan kerusi marginal akan menjadi medan sebenar penentuan kuasa.
"Parti yang paling berkesan mengurus jentera, meyakinkan pengundi atas pagar dan menawarkan penyelesaian terhadap kos sara hidup serta masalah setempat mempunyai peluang terbaik untuk membentuk kerajaan selepas semua undi dikira," tambah IDERC.
Selain itu, dapatan tersebut juga mendapati seramai 63.4 peratus responden menyatakan mereka telah membuat keputusan mengenai parti yang akan dipilih.
Namun begitu, terdapat kumpulan pengundi yang besar yang hanya akan memuktamadkan pilihan mereka pada peringkat akhir kempen.
Dalam pada itu, survei mendapati 62.3 peratus responden menyatakan mereka pasti akan keluar mengundi, manakala 24.0 peratus lagi berkemungkinan besar berbuat demikian.
Menurut kajian itu, hanya 62.3 peratus boleh dianggap sebagai kumpulan yang mempunyai komitmen keluar mengundi yang benar-benar tegas.
Keadaan itu menjadikan usaha parti memastikan penyokong yang telah menyatakan sokongan benar-benar keluar mengundi sebagai antara faktor penting yang bakal menentukan keputusan PRN Negeri Sembilan kali ini.
Dapatan turut menunjukkan sentimen “anti-DAP” yang dimainkan secara berlebihan memberi tekanan kepada sebahagian pengundi Cina, khususnya apabila perbahasan politik dilihat tidak lagi terbatas kepada kritikan terhadap parti, dasar atau prestasi.
"Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang membandingkan masyarakat Cina dan India dengan negara asal keturunan masing-masing telah menerima kritikan kerana dilihat boleh memberikan gambaran seolah-olah rakyat bukan Melayu mempunyai tanah air lain selain Malaysia," jelas IDERC lagi.
Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang PRN ke-16 itu melibatkan 1,225 pengundi di kesemua 36 kawasan DUN.
Kajian lapangan secara bersemuka dilaksanakan pada 16 hingga 19 Julai lepas, manakala pemantauan susulan dijalankan sehingga 30 Julai 2026.
Seramai 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada Sabtu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).