SEREMBAN: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai langkah strategik bagi mengelakkan perpecahan undi.
Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, langkah itu juga bertujuan mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru yang boleh mencetuskan kekeliruan politik serta memecahkan sokongan pengundi.
“Matlamatnya adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan berkaliber bagi memastikan pembangunan berterusan di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan kerjasama tersebut tidak bermaksud penggabungan antara parti, sebaliknya setiap parti kekal dengan ideologi, pendirian serta peranan masing-masing, termasuk melaksanakan fungsi semak dan imbang.
Pada masa sama, Wee berkata penglibatan MCA dalam kerjasama itu bertujuan memastikan kepentingan masyarakat majmuk terus terpelihara, termasuk memberi suara kepada masyarakat Cina, pendidikan vernakular dan kebebasan beragama dalam pentadbiran kerajaan.
“Kerjasama ini melandaskan kepimpinan rakyat, bukannya sokongan tanpa syarat. MCA akan menentang mana-mana dasar yang menjejaskan hak dan kepentingan rakyat majmuk di Malaysia,” katanya lagi.
Menerusi persefahaman itu, BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di 11 kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.