PORT DICKSON: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi untuk Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) pada Sabtu ini, mampu mencapai sekitar 72 hingga 75 peratus.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, pihaknya percaya persaingan yang rancak di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu mendorong lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Okey, untuk Sabtu ni, kita berdasarkan kepada suasana berkempen yang sengit di Negeri Sembilan ni, yang kita percaya penyokong-penyokong akan ramai keluar mengundi. Dan kita menjangkakan kadar keluar mengundi sekitar 75 peratus, 72 hingga 75 peratus.
“Insya-Allah, kita sama-sama doa dan berharap supaya semua pengundi dapat keluar mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Ramlan berkata demikian dalam Sidang Media Khas berkenaan proses pengundian awal bagi Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16), di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, pada Selasa.
Selain itu, Ramlan berkata, SPR menerima sebanyak 206 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen PRN16, dengan majoritinya melibatkan kesalahan kecil seperti bahan kempen.
Ujarnya lagi, secara keseluruhannya proses pilihan raya setakat ini berjalan lancar, teratur dan dalam keadaan aman.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, semuanya berjalan dengan tertib. Ada beberapa kes-kes kecil yang telah pun kita selesaikan.
“Secara umumnya, SPR menerima 206 aduan berhubung dengan kesalahan pilihan raya. Ini merupakan kesalahan-kesalahan kecil seperti bahan-bahan kempen dan sebagainya.
“Secara umumnya ia berjalan dengan baik, tertib, dan aman. Alhamdulillah. Tahniah kepada orang Negeri Sembilan,” katanya lagi.