Skip to main content

Dunia

FAA cadang pemeriksaan tempat duduk ratusan pesawat Boeing 737 MAX

51730081123_tbBoeing.jpg
Boeing memaklumkan syarikat itu telah mengeluarkan panduan kepada pengendali pesawat berhubung isu berkenaan sejak Disember 2025. - Foto fail/AP
Advertisement

WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mencadangkan pemeriksaan keselamatan ke atas ratusan pesawat Boeing 737 MAX selepas mendapati tempat duduk penumpang berkemungkinan dipasang secara tidak sempurna.

FAA dalam kenyataannya berkata isu itu melibatkan 453 pesawat berdaftar di Amerika Syarikat, dan syarikat penerbangan mungkin perlu menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tempat duduk dipasang mengikut spesifikasi keselamatan.

Menurut FAA, kegagalan pemasangan yang betul boleh menyebabkan tempat duduk tercabut atau bergerak ketika pendaratan kecemasan.

Keadaan itu bukan sahaja berisiko mencederakan penumpang dan anak kapal, malah boleh menghalang laluan keluar kecemasan serta melambatkan proses pemindahan jika berlaku insiden.

Cadangan arahan itu terpakai kepada pesawat yang berdaftar di Amerika Syarikat kerana FAA tidak mempunyai kuasa kawal selia ke atas syarikat penerbangan asing.

Bagaimanapun, pihak berkuasa penerbangan di negara lain lazimnya akan meneliti dan mempertimbangkan tindakan sama sekiranya isu berkenaan melibatkan pesawat yang turut beroperasi di negara mereka.

Sementara itu, Boeing memaklumkan syarikat itu telah mengeluarkan panduan kepada pengendali pesawat berhubung isu berkenaan sejak Disember 2025.

Menurut jurucakap Boeing, syarikat tersebut menyokong langkah FAA untuk menjadikan panduan tersebut sebagai keperluan wajib.

Amaran terbaharu itu menambah lagi cabaran yang dihadapi Boeing selepas syarikat pengeluar pesawat itu berdepan pelbagai isu keselamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Januari 2024, satu panel kabin pesawat Alaska Airlines 737 MAX 9 tercabut ketika penerbangan, menyebabkan pesawat terpaksa melakukan pendaratan kecemasan.

Insiden itu mendorong FAA menggantung operasi sementara 171 pesawat bagi tujuan pemeriksaan.

Siasatan kemudian mendapati panel terbabit dipasang tanpa empat bolt utama yang sepatutnya memastikan komponen itu kekal kukuh pada badan pesawat.

Tumpuan terhadap rekod keselamatan Boeing turut meningkat susulan beberapa insiden penerbangan lain di seluruh dunia, termasuk kematian pemberi maklumat syarikat itu, John Barnett, pada Mac 2024 ketika beliau terlibat dalam prosiding berkaitan kes keselamatan penerbangan.

Pada Jun 2025, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) menyimpulkan bahawa Boeing gagal menyediakan latihan, panduan dan pemantauan mencukupi bagi mengelakkan insiden melibatkan pesawat Alaska Airlines itu.

Menurut firma perisikan dan perundingan penerbangan IBA, hampir 2,300 pesawat Boeing 737 MAX kini beroperasi di seluruh dunia, termasuk 823 pesawat di Amerika Syarikat.
 

 

Must Watch Video

Advertisement