KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyediakan perkhidmatan bas bagi membolehkan pengundi luar pulang mengundi semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Alias Razak berkata, ini kerana jumlah bas ekspres yang ada di Terengganu tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengundi luar balik mengundi secara serentak.

Menurutnya, difahamkan lebih 60,000 pengundi Terengganu yang merantau atau berada di luar negeri ini.

"Kita ada cadangan seperti di Kelantan nak sediakan bas untuk mereka yang tiada pengangkutan. Bayangkanlah pada hari itu semua orang nak balik tapi bas ekspres yang ada pun tak cukup.

"Kalau tak ada bas tambahan mereka nak naik apa? Takkan dari Kuala Lumpur nak jalan kaki, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pun tak siap lagi.

"Jadi kalau tak ada bantuan mereka yang tiada kenderaan nak balik macam mana? Jadi SPR kena fikir benda-benda macam ini dan sepatutnya SPR sediakan (bas)," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Pada 27 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan pemberian wang kononnya sedekah, bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya adalah suatu kesalahan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana ia boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan seseorang calon.

Sebelum ini, Pas mencadangkan kesemua enam negeri yang terbabit dengan PRN untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar supaya mereka dapat pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan menyediakan perkhidmatan bas percuma seperti yang dilakukan kerajaan Kelantan, sewajarnya menjadi ikutan negeri lain sekali gus dapat meningkatkan peratus keluar mengundi.

Mengulas lanjut, Alias berkata, pihaknya sedang mencari jalan lain untuk membantu pengundi luar yang tidak mempunyai kenderaan untuk pulang mengundi pada PRN nanti.

"Kita sedang cari bagaimana cara boleh bantu. Kita akan bantu ringankan beban mereka nak balik tapi buat masa ini kita harap mereka balik secara sukarela.

"Tentulah lepas ini kalau kerajaan tak boleh buat (bantu sedia bas), kita harap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin bantu bawa balik pengundi luar sebagai usaha memastikan demokrasi dapat disuburkan bagi membolehkan pengundi tunaikan tanggungjawab mereka," katanya. - Sinar Harian