SEMENYIH: Pelbagai kejayaan yang dikecapi Kerajaan Perpaduan dalam tempoh tujuh bulan mentadbir negara menyebabkan pihak pembangkang cemburu atau "koyak".

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, walaupun kerajaan masih baharu namun kejayaan inisiatif membantu rakyat yang dilaksanakan tidak boleh dinafikan.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, disebabkan kejayaan itu pembangkang tidak mempunyai modal untuk menyerang kerajaan, sebaliknya mereka memainkan sentimen negatif termasuk menyentuh isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja.

"Kejayaan yang dapat kita lihat sekarang kadar inflasi kita terus menurun dan kini mencapai pada kadar 2.4 peratus.

"Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor komunikasi mencatatkan penurunan inflasi bagi harga Internet, iaitu menurun pada kadar negatif 3.6 peratus, bermakna harga Internet semakin murah," katanya pada ceramah Jelajah Perpaduan di Semenyih, Kajang malam tadi.

Jelas Fahmi, terdapat pemimpin pembangkang yang masih berdegil dengan memainkan sentimen atau menyentuh isu 3R.

"Walaupun pelbagai peringatan berhubung etika berkempen kepada semua pihak termasuk pengguna media sosial, namun ada yang masih mempermainkan isu berkenaan," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak khususnya pemimpin parti supaya sentiasa peka serta menghormati undang-undang dan etika berkempen.

- BERNAMA