PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berpeluang memenangi lima daripada enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Beliau berkata Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang mudah ditawan untuk Kerajaan Perpaduan manakala Kedah dan Terengganu pula negeri bersifat 'swing state' (mudah berubah) dan Kelantan sukar kerana kebanyakan pengundi di luar negeri itu tidak mahu perubahan.

"Swing state di mana sekejap menyokong pembangkang dan sekejap berubah kepada BN. Saya ada keyakinan kerana saya turun ke lapangan ketika berkempen di negeri itu...insya-Allah kita boleh menjadi kerajaan di lima negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelepasan Kontena 'Kempen Infak dan Wakaf Satu Juta Al-Quran', di sini hari ini.

Ahmad berkata Kerajaan Perpaduan berharap diberi peluang untuk menyelesaikan masalah utama di Kelantan termasuk kemiskinan tegar, bekalan air dan peluang pekerjaan anak muda.

PRN di enam negeri itu melibatkan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

-- BERNAMA