SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini menawarkan Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan, berteraskan lima tekad dengan 10 teras utama yang akan dinikmati rakyat, sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi PH Negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata aspirasi yang menggariskan 70 inisiatif itu, mencakupi keperluan dan kebajikan masyarakat berbilang kaum di negeri itu, sekali gus menjana peluang dalam memacu pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat.

"Ini adalah manifesto terbaik dapat dilaksanakan, kita membawa manifesto Perpaduan untuk seluruh rakyat Negeri Sembilan, kita tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan. Insya-Allah kita ada kemampuan kewangan untuk menunaikan manifesto ini.

"Ini hanya sebahagian, pembentangan bajet juga ada yang akan memberikan inisiatif baharu bergantung kepada kewangan semasa, iaitu seperti yang kerajaan negeri laksanakan sebelum ini," katanya selepas melancarkan aspirasi berkenaan di sini hari ini.

Menteri Besar itu berkata tekad berkenaan ialah Membangun Negeri Sembilan Moden 2023-2033; Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat dalam Meningkatkan Ekonomi Negeri dan Kesejahteraan Rakyat serta Pembangunan Mesra Rakyat: Melestarikan Pembangunan Seimbang Luar Bandar dan Bandar.

Tekad lain ialah Tumpuan kepada Kebajikan, Keperluan dan Permasalahan Rakyat serta Pentadbiran Berintegriti dan Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan.

Aminuddin berkata antara inisiatif yang ditawarkan ialah memperkembangkan program peluasan kampung, dengan menyediakan tapak bagi pembinaan rumah untuk golongan muda, selain menyediakan 4,000 rumah mampu milik, Program Perumahan 1 Keluarga 1 Rumah dan Perumahan Belia.

Beliau berkata kerajaan negeri juga, akan memberi lesen penjaja secara percuma untuk tempoh lima tahun, selain menaikkan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat daripada RM270 kepada RM300 dan RM320 kepada RM350.

Aminuddin berkata selain itu, PH dan BN negeri juga menawarkan Skim Sejahtera Rakyat yang diuruskan melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, mencakupi kehidupan rakyat sejak awal kelahiran sehingga menjejak ke usia warga emas.

Antaranya ialah Caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebanyak RM100 bagi kelahiran anak-anak Negeri Sembilan bermula 2023 hingga 2027, manakala bantuan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh sebanyak RM300.

Selain itu, bagi golongan ibu tunggal berpendapatan RM2,000 ke bawah dan warga emas 70 tahun ke atas, akan diberikan sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 selain bantuan Food Bank untuk keluarga termiskin dalam sistem e-Kasih.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata manifesto berkenaan, bukan dibuat secara ad hoc tetapi menyeluruh, mengambil kira kepentingan dan kebajikan seluruh lapisan masyarakat untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Ia juga adalah isyarat kuat kepada masyarakat bahawa Kerajaan Perpaduan bukan main-main, bukan kerajaan yang retorik dan hanya berjanji kepada rakyat tetapi tak boleh dilaksanakan, apa yang dijanjikan akan dikotakan," katanya.

-- BERNAMA