KUALA TERENGGANU: Seluruh kepimpinan dan jentera Perikatan Nasional (PN) terutama Pas diingatkan untuk tidak berasa selesa dengan tsunami gelombang hijau yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kerana pola pengundian boleh berubah-ubah.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa yang penting ketika ini ialah kerja keras bagi mengekalkan momentum yang ada dalam berdepan pilihan raya di enam negeri.

"Kemenangan besar dicapai Pas terutama di Terengganu pada PRU15 tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk PRN kali ini.

"Justeru saya harap jentera daripada PN, Pas dan lain-lain supaya tidak berasa selesa dengan kedudukan yang ada, dengan momentum yang ada.

"Kita teruskan... Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan yang lebih baik berbanding pilihan raya lalu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan PN mempunyai strategi tersendiri dan tidak gentar terhadap keyakinan BN bersama rakan gabungannya untuk menawan Terengganu dan Kedah pada PRN kali ini.

"Masa PRU 2018 dikatakan Pas hanya menang satu kerusi di Kelantan dan akan lenyap di Terengganu tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Jadi saya tak ambil 'port' apa yang dikatakan oleh mana-mana sama ada Pakatan Harapan (PH) atau BN yang mengatakan mereka mendapat momentum.

"Bagi kami, kita ada kerja-kerja yang perlu dibuat dihadapan. Ada kajian yang dibuat dan kita tidak 'syok sendiri' dengan kajian-kajian itu," ujarnya.

Selasa lalu, Pengarah Pilihan Raya Barisan BN, Datuk Seri Mohamad Hasan optimis gabungan BN dan PH mampu merampas Terengganu dan Kedah daripada pembangkang.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO itu berkata hasrat itu perlu diikuti dengan gerak kerja yang betul dan strategi yang baik bagi merealisasikan kemenangan. - Sinar Harian