MALAYSIA
Terengganu terima jambatan Bailey RM4.55 juta sebagai persiapan MTL

Hanafiah (tiga, kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada majlis penyerahan projek siap menggantikan jambatan sedia ada yang rosak di Jalan Durian Mentangau hari ini. - Foto Bernama
DUNGUN: Terengganu menjadi antara negeri pertama yang menerima jambatan Bailey sebagai keperluan aset strategik bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ringkasan AI
- Terengganu terima jambatan Bailey pertama bernilai RM4.55 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan MARRIS sebagai aset strategik menghadapi Monsun Timur Laut.
- Jambatan sepanjang 42.67 meter ini membolehkan pemulihan sementara jalan raya semasa bencana, memastikan bantuan kecemasan dan logistik tidak terganggu.
- JKR Terengganu menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey dengan 35 pegawai terlatih, selain menyiapkan dua projek jambatan baharu bernilai lebih RM10 juta di Dungun dan Setiu.
"Ia sekali gus memastikan bantuan kecemasan dan logistik dapat disalurkan tanpa sebarang kelewatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di bawah peruntukan MARRIS Terengganu di Kampung Durian Mentangau, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu Ir Dr Hasli Ibrahim.
Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata JKR telah menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey Negeri Terengganu yang dianggotai 35 pegawai teknikal terlatih dari JKR bahagian, JKR daerah dan JKR cawangan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan penggunaan jambatan itu kelak.
"Memandangkan ini adalah kali pertama JKR Terengganu menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey sendiri, sesi latihan telah dijalankan pada 10 hingga 14 Ogos lepas sebagai kesiapsiagaan JKR Terengganu menghadapi bencana khususnya semasa MTL nanti," katanya.
Hanafiah berkata kerajaan negeri pada hari ini turut menerima dua buah projek yang berjaya disiapkan JKR Terengganu di bawah peruntukan MARRIS iaitu projek penggantian jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau di sini dan projek pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah di Setiu.
Beliau berkata jambatan dan infrastruktur jalan di kedua-dua lokasi berkenaan mengalami kerosakan serius berikutan banjir besar pada 2022, sehingga menjejaskan hubungan antara kawasan dan menyukarkan pergerakan penduduk.
Hanafiah berkata sebanyak RM5.77 juta diperuntukkan kerajaan negeri melalui peruntukan MARRIS bagi projek di Jalan Durian Mentangau manakala pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Pancor Merah pula melibatkan kos RM4.95 juta.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami