SIK: Dua bekas ketua pasukan bola sepak Kedah, Muhamad Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar disebut-sebut antara calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos akan datang.

Sekalipun tidak menyebut nama kedua-dua pemain popular itu, namun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan Muhammad Radhi dan Baddrol akan menjadi pertaruhan pada PRN negeri itu kali ini.

Bahkan, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN menegaskan, bukan sahaja dua pemain bola sepak itu, sebaliknya, PN Kedah juga akan mempertaruhkan dua ahli akademik bertaraf profesor sebagai calon mewakili gabungan itu dalam PRN.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memaklumkan, sebahagian besar daripada calon PN terdiri daripada golongan ustaz dan ulama dan kesemua mereka akan diketuai oleh seorang 'panglima'.

"Tuan-tuan sekalian, (pada) 12 Ogos undilah Perikatan Nasional… (untuk) musim kedua perpindahan (penggal baharu), kita akan ada dua profesor untuk mewakili kita, player (pemain) bola ada dah dua… ustaz (dan) ulama tak payah kira (memang banyak),dan seorang panglima (akan) duduk di hadapan (mengetuai senarai calon itu)," kata Muhammad Sanusi memberi bayangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Dewan Al Hana, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menzahirkan keyakinan bahawa PN tidak perlu untuk menunggu lama bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan sekiranya menang di kesemua enam negeri dalam PRN akan datang.

Terdahulu, Majlis Pengisytiharan Calon-Calon PN Kedah yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan kepada Rabu depan.

Setiausaha PN Kedah, Musoddak Ahmad berkata, penangguhan itu diputuskan oleh Majlis PN Pusat dan PN Kedah dalam mesyuarat pada Rabu.

Menurutnya, perubahan tarikh berkenaan tiada kaitan dengan dakwaan terdapat perubahan calon Pas pada saat akhir susulan kes pendakwaan Muhammad Sanusi di mahkamah pada Selasa.

Untuk rekod, Kedah memiliki 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana PN menguasai 21 daripadanya sebelum DUN dibubarkan 28 Jun lalu.