POLITIK
PRN Sabah: BN hasrat tanding sekurang-kurangnya satu DUN setiap Parlimen - Tok Mat

Mohamad berkata, ia bagi memastikan BN mempunyai wakil bertanding di semua 25 kawasan Parlimen di Sabah yang mempunyai 73 DUN pada pilihan raya itu. - Gambar fail
MEMBAKUT: Barisan Nasional (BN) berhasrat bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap kawasan Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ringkasan AI
- BN berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap 25 kawasan Parlimen di Sabah yang mempunyai 73 DUN, bagi memastikan kehadiran wakil parti di semua kawasan dan mengelakkan kekecewaan penyokong seperti yang berlaku pada pilihan raya lepas.
- Hasrat tersebut belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan bersama parti komponen BN seperti UMNO, MCA, MIC dan PBRS. Mohamad Hasan menegaskan pentingnya strategi ini bagi mengukuhkan sokongan akar umbi dan mengelakkan penyokong meninggalkan parti.
- Mohamad turut menafikan dakwaan bahawa UMNO bergabung dengan DAP selepas PRU15, menjelaskan bahawa BN hanya membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan berdasarkan perjanjian demi kestabilan negara kerana tiada parti memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
"Kita tidak mahu perkara sebelum ini berlaku... pada pilihan raya lepas ada kawasan parlimen langsung tidak diwakili oleh BN, ini menyebabkan penyokong parti di bawah BN tidak mampu berbuat apa-apa pada pilihan raya itu.
"Ini akan menyebabkan penyokong berkenaan bosan dan kecewa seterusnya mengambil langkah untuk meninggalkan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kimanis di Dewan Terbuka Membakut di sini hari ini.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terbubar automatik pada 11 November ini sekiranya tidak terbubar sebelum tarikh itu. Pembubaran DUN Sabah ke-16 bakal membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Sementara itu, Mohamad meminta orang ramai khususnya ahli UMNO supaya tidak terpengaruh dengan fitnah dan dakwaan jahat mengatakan parti berkenaan bergabung dengan DAP.
"BN khususnya UMNO tidak pernah bergabung dengan mana-mana parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, sebaliknya BN hanya menubuhkan kerajaan sedia ada bersama Pakatan Harapan (PH) berdasarkan perjanjian dengan gabungan parti berkenaan.
"UMNO dan BN menubuhkan kerajaan adalah kerana kita hendak mengurus negara kerana selepas PRU 15 tidak ada parti yang boleh menubuhkan kerajaan," katanya.
Beliau berkata BN sebagai parti yang telah lama menjadi kerajaan menyambut seruan supaya negara diutamakan dan parti itu bersetuju menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas PRU itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami