PRN Sabah: GRS-PH akan terus diberi kepercayaan berdasarkan rekod cemerlang - Hajiji

Menurut Pengerusi GRS itu, antara kejayaan besar Kerajaan Negeri ialah membelanjakan RM1.2 bilion bagi sektor pendidikan dalam tempoh empat tahun. - Gambar fail
TAMBUNAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) akan terus mendapat kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berdasarkan rekod pencapaian sepanjang lima tahun pentadbiran.
Ringkasan AI
- Hajiji Noor yakin GRS bersama PH akan terus mendapat kepercayaan rakyat dalam PRN Sabah Ke-17 berdasarkan rekod pencapaian lima tahun pentadbiran.
- Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.2 bilion untuk sektor pendidikan dalam tempoh empat tahun, selain melaksanakan pelbagai program kebajikan, menarik pelaburan dan memeterai perjanjian dengan PETRONAS.
- Manifesto PRN17 akan dilancarkan selepas penamaan calon, manakala agihan kerusi antara GRS dan PH hanya diumumkan pada hari penamaan calon.
"Kita juga membantu orang yang susah.... Bukan saja bantuan rumah tetapi mereka yang kurang bernasib baik dalam kategori eKasih, kita bantu sebanyak RM300 sebulan.
"Selain itu, kita berjaya mengadakan perjanjian dengan PETRONAS. Banyak peluang dan kebaikan yang kita capai dalam industri minyak dan gas. Banyak lagi kejayaan kita walaupun ia dinafikan oleh pihak pembangkang. Jadi saya harap rakyat dapat menilai semuanya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau ditemui selepas hadir membuat lawatan di SAN Tambunan, yang terjejas akibat kebakaran pada petang Ahad.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, yang juga Exco Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Diyanah Abdullah.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata GRS juga akan memberikan tawaran yang lebih baik dan realistik dalam PRN17, dengan terus mengutamakan kebajikan rakyat termasuk dari segi ekonomi.
"Kita akan bagi tawaran yang baik kepada rakyat, yang wajar dan logik. Manifesto ini kita akan lancarkan selepas penamaan calon. Tunggu saja," katanya.
Ditanya mengenai agihan kerusi antara GRS dan PH pula, Hajiji memberi bayangan seolah-olah perkara itu sudah 'diketahui', namun jumlah sebenar hanya akan diumumkan pada hari penamaan calon.
"Kita sudah tahu (jumlah kerusi). Kamu tunggu saja penamaan calon, baru tahu bilangannya," katanya ringkas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Khamis ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN17, termasuk hari penamaan calon, undi awal serta hari pengundian.
DUN Sabah ke-16 dibubarkan pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN17, yang menyaksikan sebanyak 73 kerusi bakal menjadi rebutan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami