Gencatan senjata di Gaza tidak wajar menjadi sekadar jeda antara peperangan - PM

Anwar turut mengkritik kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang disifatkan sebagai tidak menunjukkan sebarang niat untuk menghormati komitmen terhadap kedamaian. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha gencatan senjata terkini di Gaza tidak seharusnya menjadi sekadar jeda antara peperangan meskipun beliau mengulangi sokongan terhadap inisiatif damai 20 perkara yang disaran oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim menegaskan gencatan senjata di Gaza tidak boleh menjadi jeda peperangan, sambil mengulangi sokongan terhadap pelan damai 20 perkara Trump tetapi menekankan tiada pelan komprehensif untuk hak pelarian dan negara Palestin merdeka.
- Malaysia bersama beberapa negara menyokong gencatan senjata dengan syarat ia membawa kepada pembinaan semula Gaza dan pengiktirafan hak rakyat Palestin, serta mengkritik kerajaan Israel yang tidak menunjukkan komitmen damai.
- Selain bantuan RM100 juta, Malaysia bekerjasama dengan Jepun, negara Asia Timur dan Timur Tengah untuk menggerakkan bantuan tambahan kepada rakyat Palestin.
"Terdapat keraguan yang begitu menebal dengan pendirian kami. Malaysia, bersama-sama Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil, menyokong penuh gencatan senjata ini namun ia haruslah membawa kepada pembinaan semula Gaza, memulihkan maruah serta mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk hidup bebas di tanah air mereka sendiri," katanya dalam ucapan beliau bertajuk Galvanising the South in Shaping a New International Order di sini hari ini.
Beliau turut mengkritik kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang disifatkan sebagai tidak menunjukkan sebarang niat untuk menghormati komitmen terhadap kedamaian.
Anwar juga berkata dunia tidak boleh membiarkan Gaza terus terjerumus dalam kitaran kemusnahan serta keputusasaan dan menegaskan bahawa kepimpinan harus menterjemah kemarahan moral kepada tindakan yang berterusan.
Perdana Menteri juga berkata tragedi yang sedang berlaku dan kekejaman rejim Zionis di Gaza mencerminkan krisis global yang begitu mendalam.
Justeru itu, beliau berkata berdiam diri bukan lagi satu pilihan untuk Malaysia.
Anwar berkata selain komitmen bantuan kemanusiaan sebanyak RM100 juta untuk Gaza, Malaysia kini menjalinkan kerjasama dengan Jepun serta beberapa negara dari Asia Timur dan rakan kongsi dari Timur Tengah untuk menggerakkan bantuan tambahan kepada rakyat Palestin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami